BERKAWAN rapat dengan pemain lebih senior mematangkan Whitney Isabelle Wilson, dalam menetapkan hala tuju kerjaya sukannya dalam skuasy.
Berkepit bersama naib juara remaja dunia, Aira Azman dan pemain berusia 19 tahun, U Thanusaa, membuka mata Whitney untuk melihat masa depan le bih jauh ke hadapan pada usia lebih muda.
Malah, melihatkan Aira bersama empat lagi pemain skuasy negara diserap masuk ke dalam Program Fast Track Road to Gold (RTG), membuatkan dia turut memasang impian, merebut tempat ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Pada 2028 nanti, saya akan berusia 20 tahun, jika segala-galanya berjalan lancar dan saya dapat letakkan kedudukan ranking yang baik, saya harap dapat ke Olimpik juga,” kata Whitney, pemain berasal dari Kedah.
Pada usia 16 tahun, pemain wanita yang sering didedahkan dalam kejohanan bawah 17 tahun (B-17) dan B-19 ini, semakin selesa dengan corak permainan pemain lebih matang daripadanya malah ia terbukti, ketika dia menjuarai Kejohanan Remaja Kebangsaan WCE B-17 wanita minggu lalu, apabila mengatasi Najwa Zara Mohd Fakhrur, 15, straight set 11-7, 11-6, 11-6.
“Saya rapat dengan Aira, Aifa (Azman) dan pemain senior lain kerana sering menyertai kejohanan antarabangsa bersama-sama, berlatih juga di bawah jurulatih yang sama, jadi kami sememangnya sering bertukar-tukar pandangan dalam skuad kebangsaan,” ujar Whitney.
Menginspirasikan Datuk Nicol David sebagai idola bintang skuasy sejak dari kecil lagi, Whitney mula memilih sukan ini sejak berusia lima tahun lagi.
Menurutnya, dia memilih sukan ini, semata-mata tidak mahu mengikut cadangan ibunya yang mahukan dia berkecimpung dalam sukan gimnastik.
“Saya pilih skuasy kerana tak mahu masuk gimnastik, saya tak naklah kena buat pergerakan fleksibel, susah.
“Saya pilih skuasy kerana berasakan lebih seronok dan mudah,” tambah Whitney yang juga bekas juara kebangsaan B-11.
Sepanjang tahun lalu, Whitney mempamerkan potensinya dengan memenangi tiga daripada enam gelaran Kejohanan Setelit WSF PSA dan muncul pemain wanita paling muda merangkul kejuaraan itu.
Dia mula beralih sebagai pemain profesional pada usia 15 tahun (Januari 2023), menunjukkan keserasiannya di bawah kendalian jurulatih Andrew Cross.
“Impian saya adalah menjadi salah seorang pemain skuasy wanita terbaik dunia suatu hari nanti.”
Pemain yang menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil ini, memenangi pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia di Dalian, China tahun lalu, selain menjuarai B-19 Kejohanan Remaja Antarabangsa REDtone di Kuala Lumpur.