FOTO : KUFC
PENYERANG terbaru, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali menyatakan impian ibu bapa dan keluarga adalah faktor utama dirinya memilih untuk.menyarung jersi Kelantan United FC pada musim 2024/25.
Wan Mohamad Fazli atau Pokli telah diumumkan menjadi sebahagian dari pasukan yang berpengkalan di Kota Bharu setelah menghabiskan sebahagian besar kariernya bersama Terengganu FC.
Dia yang direkrut pasukan negeri jiran sejak tujuh tahun lalu setelah memperagakan bakat dalam saingan Liga Bola Sepak Rakyat sebenarnya adalah anak kelahiran Kuala Krai.
“Sejujurnya, saya memilih Kelantan United kerana ingin merealisasikan impian ibu bapa yang mahu melihat saya beraksi dengan kelab dari negeri kelahiran.
“Saya akui ada terima dua tawaran dari Negeri Sembilan FC dan Melaka FC namun saya bersetuju pulang ke Kelantan demi hasrat keluarga.
“Sasaran utama saya adalah untuk pasukan. Saya mahu tambah kekuatan dari segi attacking agar mampu bersaing dengan pasukan teratas seperti Johor Darul Ta’zim, Terengganu serta Selangor,” katanya menerusi Facebook rasmi kelab KUFC pada Khamis.
Tambah Fazli Ghazali, dia kurang dapat minit permainan di Terengganu pada musim 2023 dan pada musim baru ini dia berhajat untuk menembusi barisan pemain utama Kelantan United sekali gus meningkatkan prestasi dirinya dari masa ke masa.
Tetap menyatakan impian untuk turut dipanggil menyarung jersi skuad negara, Fazli yakin skuad Kijang Hijau mampu menjadi platform kepadanya untuk memperagakan aksi serta memberi impak tertinggi demi membantu kelab mencapai sasaran kedudukan yang lebih baik berbanding musim sebelum.