SEORANG penulis teknikal mencipta sejarah menjadi individu pertama berenang tanpa henti dan tanpa bantuan secara solo dari Pulau Lang Tengah ke Pulau Perhentian, Ahad lalu.

Renangan sejauh 26.2 kilometer (km) itu dibuat Ridzwan Rahim, 47, bermula jam 9.30 pagi dan tiba di Pulau Perhentian jam 9.55 malam dengan masa keseluruhan 12 jam 25 minit 15 saat (s) diiringi pasukan pengiring

Ridzwan berkata, renangan itu adalah yang ketiga selepas berenang sejauh 17km dari Pulau Perhentian dan Pulau Redang ke tanah besar Kuala Terengganu (25km) pada Mac 2021 serta Jun 2023.

Ridzwan akui renangan ini amat sukar kerana terpaksa bergelut dengan ombak besar selama hampir 12 jam.

Menurut anak jati Kajang, Selangor itu, laut bergelora dan ombak besar menjadi cabaran utama sepanjang renangan tersebut selain turut disengat obor-obor berbisa sebanyak empat kali.

“Laluan asal adalah dari Pulau Perhentian Besar ke Pulau Lang Tengah namun ditukar dan saya juga terpaksa berenang sejauh 26.2km walaupun jarak sebenar hanya 17km kerana keadaan laut.

“Cabaran paling mendebarkan berdepan ombak setinggi 2 meter dan angin kencang mencecah 15 knot tetapi dengan kecekalan saya dapat menamatkan renangan,” katanya kepada Flash Sukan.

Mengulas lebih lanjut, Ridzwan berkata, beliau berhasrat menjadi perintis kluster renangan maraton baharu iaitu ‘Terengganu Four Swims’ membabitkan pulau peranginan di negeri itu.

Renangan ini dibuat dengan mematuhi peraturan Persekutuan Perenang Maraton (Marathon Swimmers Federation – MSF).

Menurutnya, Terengganu berpotensi menjadi laluan atau pusat renang bertaraf antarabangsa terutamanya perairan Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah.

“Saya harap usaha (renangan) ini dapat menarik minat lebih ramai perenang tegar dari seluruh dunia untuk turut sama merasai pengalaman merentasi pulau peranginan yang indah di Terengganu ini.

“Renangan pada 2021 disahkan Persekutuan Perenang Maraton (MSF) sekaligus mengiktiraf pencapaian berenang secara solo, tanpa henti dan tanpa bantuan,” ujarnya.