BEREGU campuran badminton negara, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie kurang bernasib baik apabila terkandas di separuh akhir kejohanan Korea Masters 2022, pada Sabtu.

Walaupun tewas kepada pasangan China, Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong, pujian harus diberikan kepada mereka apabila berjuang habis-habisan sebelum terpaksa akur dengan keputusan 11-21 dan 15-21 dalam masa 33 minit.

Hajat menyaksikan kemaraan perseorangan lelaki, Soong Joo Ven ke perlawanan akhir juga turut menghampakan apabila kalah di tangan pemain Jepun, Kodai Naraoka pada aksi yang berlangsung sejam 25 minit di Gwangju.

Tewas 21-17 di set pertama, Joo Ven memberikan tentangan lebih baik dalam set berikutnya untuk menang, 23-21. Namun dia gagal mengekalkan konsistensi apabila terperangkap permainan rally Naraoka pada set penentuan, tumpas 21-11.