ACARA ragbi Borneo Sevens 2024 yang dinanti-nantikan kini bakal memulakan cabaran dengan 14 pasukan termasuk enam pasukan wanita bagi merebut kejuaraan ‘Greenest Sevens in the World’.

Kejohanan yang berlangsung di Kelab Ragbi Eagle Sandakan, Sabah pada 9 dan 10 Mac akan menyaksikan acara ragbi kelas dunia dari pasukan-pasukan hebat Asia yang bakal membawa pulang wang USD5,000 sebagai hadiah kejuaraan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Pemenang tempat kedua untuk kedua-dua kategori pula akan menerima hadiah wang tunai USD2,000 sekaligus menjadi antara tarikan utama kejohanan kali ini.

Velayuthan Tan (dua dari kiri) menyerahkan piala kejohanan kepada Ramesh Lachmanan

Pengarah Kejohanan, Velayuthan Tan berkata dia berbangga apabila melihat kejohanan yang dimulakan sebagai acara kecil-kecilan dahulu kini telah berkembang menjadi salah satu kejohanan utama Ragbi Tujuh di Asia.

“Kami mengadakan kejohanan ini sebagai sebahagian daripada Festival Sandakan untuk membantu mempromosikan daerah ini suatu ketika dahulu dan berjaya mengotakan janji untuk terus mengadakan acara ini dengan menarik minat pasukan-pasukan dari Australia, New Zealand dan Fiji yang boleh dianggap sebagai pencapaian buat kami.

“Kami juga berharap agar kejohanan ini dapat diteruskan dengan acara tahun ini dilangsungkan dalam suasana karnival di mana pelbagai aktiviti lain seperti pameran kereta serta persembahan artis tempatan turut diadakan,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Sidang media memperkenalkan pasukan-pasukan yang bertanding

Pengarah Kejohanan, Ramesh Lachmanan pula menjelaskan dalam kategori lelaki lapan pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan penyandang juara, Borneo Eagles, Briars, Belgium dan Malaysia Uni dalam Pool A.

Pool B pula akan ditandingi oleh pasukan Cavaliers, Uzbekistan, Delhi Hurricanes dan DKI Jakarta manakala kategori wanita pula akan dilangsungkan dalam format round-robin.

Pasukan-pasukan wanita yang akan bertanding pula adalah Borneo Flyers, Uzbekistan, Philippines Eagles RFC, Briars, BAC Singapore dan DKI Jakarta.