PERSIAPAN Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 mendapat kerisauan daripada banyak pihak kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengumumkan sebarang perlawanan ujian menjelang aksi penting itu.

Perkara ini dikhuatiri akan menjejaskan tahap kecergasan pemain dengan majoriti dari mereka kali terakhir hanya beraksi secara kompetitif adalah ketika Piala Asia lalu dan bercuti ‘off season‘ selepas itu.

Namun, bagi bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, ketiadaan perlawanan persahabatan dilihat bukanlah isu besar buat Harimau Malaya sebaliknya dia melihat perkara ini ada pro dan kontranya.

Safee Sali tidak bimbang Harimau Malaya tanpa perlawanan ujian.

“Saya rasa mereka bersedia, cuma risau dari segi tahap kecergasan kerana musim masih belum bermula. Pasti semua pemain miliki masalah sama. Sekarang fasa bina balik keserasian dan kecergasan.

“Aksi pemanas badan ini ada pro dan kontranya. Kalau ianya mendatangkan kecederaan pemain utama, ini akan menjejaskan karier mereka.

“Kim Pan-gon sudah tentu tahu tahap pemainnya dan jika mahukan perlawanan ujian, tidak perlu bertemu negara besar kerana aksi tertutup antara kelab tempatan pun boleh untuk uji kecergasan para pemain,” katanya.

Skuad Harimau Malaya.

Skuad kebangsaan bakal berdepan Oman dalam aksi ketiga dan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat pada 21 Mac sebelum beraksi di Bukit Jalil pada 26 Mac.

Kemenangan dalam dua perlawanan itu akan menyaksikan skuad kebangsaan meraih tiket ke peringkat kumpulan Piala Asia 2027 dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Harimau Malaya kini berada di tangga teratas Kumpulan D setelah mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Chinese Taipei dan Republik Krygyz pada November 2023.