ARENA Porte de la Chapelle yang bakal menjadi gelanggang badminton di Sukan Olimpik Paris, bagai menyaksikan bayangan awal keputusan temasya sukan terbesar dunia itu, ketika kempen kejohanan badminton Terbuka Perancis berlangsung.
Sebentar tadi, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi wakil tunggal negara di suku akhir, ditunjuk jalan keluar apabila tewas kepada juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Pasangan negara itu sekali lagi dikecewakan oleh beregu Korea Selatan terbabit apabila tewas straight set 19-21, 16-21 dalam tempoh 43 minit.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik gagal mengatasi Min Hyuk-Seung Jae selepas tewas pada suku akhir Terbuka Malaysia, Januari lalu.
Daripada empat pertemuan, Aaron-Wooi Yik hanya menang sekali ke atas lawan berkenaan ketika saingan Terbuka China.
Kekalahan Aaron-Wooi Yik menyaksikan tiada lagi kelibat pemain Malaysia pada kejohanan kali ini selepas mereka menjadi wakil tunggal negara yang berjaya melangkah ke suku akhir.
Bekas juara dunia itu berpeluang menebus kekecewaan di Paris apabila beraksi di Seluruh England yang bermula Selasa ini.
Mereka akan membuka tirai saingan menentang rakan senegara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan pertama.