PENGENDALI interim Selangor FC, Nidzam Jamil jelas apa yang dimahukan penyokong The Red Giants kerana dia sendiri faham apa rasa sebagai seorang penyokong Selangor selepas lama berkhidmat untuk pasukan ini sejak bergelar pemain bola sepak.

Atas sebab itu dia sentiasa kekal di belakang pasukan dan akan memberikan yang terbaik buat para penyokong kerana sedar akan kesetiaan tidak berbelah bahagi yang diberikan mereka.

Nidzam juga sedia untuk berkhidmat sebagai penghubung buat ketua jurulatih baharu yang mahu mendapatkan maklumat mengenai pasukan dalam usaha membina sebuah pasukan yang berkualiti.

Pengendali interim Selangor FC, Nidzam Jamil

“Sesiapa yang datang ke Selangor tidak kira jurulatih atau pemain perlu sedar bahawa penyokong sentiasa ada dibelakang pasukan tanpa mengira hujan atau panas dan itu lah tugas kami untuk memberikan persembahan terbaik buat mereka.

“Saya sentiasa berada di belakang pengurusan dan menyokong mereka serta memberikan servis saya tidak kira sebagai jurulatih interim atau pembantu jurulatih kepada jurulatih baharu yang akan dibawa masuk selepas ini.

“Saya juga bersedia untuk menjadi penghubung kepada jurulatih baharu untuk memberikan maklumat berkaitan pemain dan pasukan kerana apa yang saya lakukan adalah demi kelab,” katanya ketika ditemui di Majlis Lanjutan Penajaan antara Selangor FC dan Aeon Big di Wangsa Maju.

Nidzam dan pemain-pemain Selangor FC ketika sesi bertemu penyokong di Aeon Big Wangsa Maju

Nidzam juga menyatakan dia gembira dengan keadaan pasukan ketika ini terutama selepas pulang dari latihan pramusim di Bangkok dengan para pemain sudah menunjukkan persefahaman antara satu sama lain.