PEMAIN tengah kebangsaan, Stuart Wilkin berharap dia dan rakan-rakan sepasukannya dapat mengekalkan prestasi dan kecergasan ketika di Piala Asia untuk menghadapi Oman dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 21 dan 26 Mac.
Tonggak Sabah FC yang beraksi cemerlang ketika Piala Asia pada Januari juga gembira dengan senarai pemain yang dipanggil dengan menyifatkan kesemua pemain mampu memberikan saingan hebat dalam perebutan tempat ke kesebelasan utama.
“Gembira kembali ke kem kebangsaan dan saya harap kami dapat kekalkan prestasi di Piala Asia dan juga meningkatkan kecergasan untuk dibawa ke dua perlawanan menentang Oman ini.
“Saya tidak mempunyai masalah dengan barisan pemain yang dipanggil kali ini dan kami semua akan bersaing hebat kerana tidak ada jaminan untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.
“Ianya sangat bagus kerana kami akan mendorong satu sama lain dalam latihan sekaligus menjadikan kami bersaing untuk memastikan semua berada pada tahap yang terbaik,” katanya ketika ditemui di kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM.
Stuart yang mempunyai 19 kaps dengan skuad kebangsaaan juga berharap mereka mendapat keputusan positif dari perlawanan ini untuk memastikan kelayakan lebih awal ke pusingan seterusnya namun tetap mahu berwaspada dengan pasukan lawan.
“Bagus sekiranya kita mengambil kesempatan atas kedudukan kita dalam Kumpulan ketika ini dan berharap boleh membawa keputusan yang baik dalam dua perlawanan ini untuk layak ke peringkat seterusnya lebih awal.
“Namun kita perlu berhati-hati dengan Oman kerana mereka adalah lawan yang sukar tetapi dalam masa yang sama kami perlu fokus kepada persiapan pasukan dan mendengar arahan daripada jurulatih,” jelasnya.
Malaysia kini menduduki tangga teratas Kumpulan D dengan enam mata selepas dua perlawanan setelah mencatatkan kemenangan 4-3 ke atas Republik Kyrgyz dan 1-0 ke atas Chinese Taipei pada November 2023.