BINTANG skuasy negara, S.Sivasangari terpaksa melupakan hasratnya untuk ke final Kejohanan Cleveland 2024 selepas ditewaskan olen pemain dari England, Georgina Kennedy di separuh akhir Sabtu lalu.
Pemain negara yang menduduki ranking ke-16 itu tampil dengan permainan yang meyakinkan, bangkit daripada ketinggalan dua set sebelum kalah 11-13, 8-11, 14-12, 11-6, 9-11 kepada juara bertahan itu.
Georgina yang juga pemain ranking ke-6 dunia itu mengakui terpaksa meningkatkan tahap intensiti dalam perlawanan yang berlangsung selama 64 minit, terutama sekali ketika set penentuan.
“Ia sesuatu yang sukar. Saya bercakap dengan Sivasangari selepas perlawanan, bahawa dalam perlawanan ini tiada siapa antara kami harus kalah. Saya lega dan bertuah kerana mendapatkan mata kemenangan.
“Ketika saya mendahului 2-0, saya rasa tidak selesa – dalam fikiran saya dapat rasakan dia (Sivasangari) akan bangkit dan itu pastinya kamu pun tidak mahu mendengarnya.
“Saya berpura-pura yang saya sentiasa positif tapi perkara itu tetap bermain di fikiran saya,” ujarnya dalam kenyataan oleh Persatuan Skuasy Profesional (PSA).
Georgina akan berdepan pilihan kedua kejohanan Nour El Tayeb pada aksi final hari ini, selepas pemain Mesir itu mengetepikan wakil Amerika Syarikat, Olivia Weaver dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Sabtu.
Sivasangari pula dalam hantaran di laman X miliknya hari ini, meluahkan kekecewaannya apabila tidak memenangi perlawanan semalam walaupun hampir mengejutkan juara bertahan dari England itu.
“Sangat kecewa tidak menang malam ini, walaupun sudah hampir melakukannya,” katanya dalam laman X miliknya.