PERTAHANAN England, Lucy Bronze sah menjadi milik Barcelona apabila mengikat kontraknya bersama The Catalan untuk tempoh dua tahun.

Manchester City sebelum ini mengumumkan bahawa pemain itu disifatkan umpama ‘tembok besar’ itu bakal meninggalkan kelab tersebut kerana kontraknya berakhir pada 30 Jun.

Spekulasi tentang penghijrahan pemain tersebut ke kelab Real Madrid sebelum ini telah terjawab dengan pemergiannya secara rasmi ke Barca.

“Saya sangat gembira dapat bermain dalam kelab Barcelona, satu pasukan yang besar dalam dunia bolasepak.

“Saya tidak sabar beraksi bersama kelab itu. Selepas beberapa perbincangan bersama Barca, saya tidak mampu menolak tawaran itu,” ujarnya kepada BBC.

Bronze pernah dinobatkan Pemain Terbaik FIFA Wanita pada 2020 selain merangkul lima kejohanan besar bersama City dengan menjaringkan 14 gol dalam 111 penampilannya bersama The Citizens.

Pencapaiannya di Lyon juga tidak kurang hebatnya apabila dia berjaya menjulang Trofi Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali semasa bersama kelab yang berpengkalan di Perancis itu.