KUCHING City FC antara pasukan yang kelihatan aktif dalam menyambar pemain-pemain berkualiti tidak kira import mahupun tempatan.

Baru-baru ini, bekas penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah telah disahkan menjadi tonggak baharu Kuching City sekali gus mengesahkan dirinya akan kekal beraksi di bumi Malaysia.

Perpindahan Mintah ke Kuching City ini telah diumumkan melalui satu hantaran video di laman Instagram rasmi Kuching sendiri dan meraih perhatian dari ramai peminat-peminat bola sepak tempatan.

“Kambing (The Real G.O.A.T) yang sebenar,” menurut kapsyen video tersebut.

Untuk informasi, GOAT dalam istilah bola sepak bukan kambing tetapi Greatest of All Time (GOAT).

Jelas bahawa Mintah yang melanjutkan kariernya bersama Kuching akan melengkapkan tahun kelimanya dalam industri bola sepak tempatan sejurus membuka peluang cerah untuk dijadikan pemain naturalisasi.

Kuching sebelum ini berhasil merekrut seorang lagi penyerang berbisa iaitu bekas pemain Terengganu dan Kuala Lumpur (KL) City FC, Tchetche Kipre dan dijangka mereka bakal menjadi duo penyerang utama ‘The Cats’.

Untuk rekod, selama di Terengganu, Mintah berjaya menghasilkan 13 jaringan iaitu dalam saingan Liga Super dan Piala FA, manakala bersama Terengganu II, Mintah beraksi dalam 11 perlawanan keseluruhan dengan empat jaringan berjaya dicipta.