PENYOKONG Hijau Kuning disaran untuk membantu kelab dalam usaha untuk menstabilkan dan mengukuhkan kewangan kelab.

Semboyan itu dilaungkan oleh pemilik majoriti Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam satu kenyataan media pada Rabu.

“Kempen dengan slogan ‘Keep The Hope Alive’ bertujuan untuk menyeru semua pihak berkepentingan termasuk pihak industri bola sepak, pihak swasta, media dan terutamanya peminat dan penyokong KDA FC untuk menyumbang secara langsung atau tidak langsung.

“Kempen ‘Keep The Hope Alive’ meniup semangat kebangkitan bukan hanya dari prestasi kelab dan pasukan tetapi mengajak semua peminat di luar sana untuk membantu apa sahaja yang termampu dalam memastikan harapan untuk terus bersaing dalam Liga Malaysia dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Pemilik KDA FC menyeru semua peminat bola sepak Kedah untuk membantu pasukan dengan membeli barangan kelab untuk menampung kewangan kelab.

Beliau juga menambah peminat yang membeli t-shirt ketika semboyan untuk sokongan ini dilaungkan akan dimeterai nama mereka di dalam rekod kekal kelab sebagai antara penyokong tegarnya.

“Saya menyeru kepada semua penyokong Kedah Darul Aman FC untuk sama-sama menghidupkan cita-cita dan emosi lagu kita ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’.

“Kelab ini amat memerlukan anda ketika ini, kerana hanya kita yang dapat menentukan keadaan di rumah kita sendiri,” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata bahawa penyokong Kedah boleh membantu menyuntik semangat untuk pasukan kesayangan mereka dengan memperolehi t-shirt secara pra tempahan di store.kedahdarulamanfc.com dalam masa terdekat ini.