PENAMPILAN pertama kapten Selangor FC Brendan Gan musim ini ketika perlawanan menentang Sarawak United FC menjadi tumpuan selepas hampir setahun berehat panjang berikutan menjalani rawatan kanser testis.

Pemain yang baharu menyambut kelahiran ke-34 tahun 3 Jun lalu sememangnya mempunyai ‘jiwa pejuang’ apabila berjaya mengatasi masalah kesihatannya itu dan kembali turun beraksi bersama pasukan kesayangan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Brendan bukan sahaja berada dalam barisan utama skuad kendalian Michael Feichtenbeiner ini, malah turut membuka jaringan pertama perlawanan seawal minit ketujuh permainan.

Pada perlawanan tersebut, Selangor FC lebih awal menunjuk belang apabila minit ke-3 menyaksikan gawang Selangor FC hampir dibocori setelah penjaga gol Red Giants, Khairulazhan Khalid gagal menangkap kemas hantaran lintang dari Sarawak United FC.

Bagaimanapun Brendan melakukan rembatan ‘half volley’ menerjah gawang The Golden Hornbills meletakkan Red Giants 1-0 di hadapan.

Kem tuan rumah sekali lagi ceria apabila tendangan sudut yang diambil Mukhairi Ajmal ditanduk kemas Hyuri Henrique meletakkan tuan rumah selesa 2-0 di hadapan.

Pertukaran dilakukan pada minit ke-32 dengan menukar Abang Azri Fikri Abang Saufee dengan Mohammad Amer Saidin manakala Abdul Rahim Abdul Razak digantikan Kouassi Francis Kone.

Gol ketiga Red Giants hadir menerusi hantaran lintang Hein Htet Aung yang disudahkan Herlison Caion pada minit ke-45.

Babak kedua menyaksikan tiga pertukaran dilakukan Selangor FC dengan menukar Brendan Gan memasukkan Muhamad Syahir Bashah, Hyuri Henrique digantikan Mohd Nor Hakim Hassan, Muhammad Fazly Mazlan diganti Ahmad Zikri Mohd Khalili.

Minit ke-51, larian deras Mohd Nor Hakim Hassan berjaya mengelirukan penjaga gol Sarawak United FC dengan jaringan keempat Red Giants.

Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau dimasukkan pada minit ke-72 menggantikan Mukhairi Ajmal, ia sekaligus menaikkan moral pasukan tuan rumah apabila Herlison Caion menghukum kealpaan pertahanan Sarawak United FC dengan gol kelima Red Giants.

Hatrick berjaya dihasilkan Herlison Caion dengan rembatan kencang pada minit ke-88 meletakkan Selangor FC berpesta gol 6-0

Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau muncul wira pasukan dengan gol ketujuh Selangor FC sekaligus melengkapkan malam gemilang pasukan tersebut.

Kemenangan tersebut meletakkan Selangor FC menghuni tangga ke-6 liga dengan 11 mata setelah melalui tempoh rehat yang panjang kerana memberi laluan kepada Sukan SEA 2021 Hanoi dan Piala Asia B-23 tahun di Uzbekistan.