PENYERANG skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan berintensiti tinggi yang diterapkan Kim Pan-gon kerana latihan yang sama digunapakai di kelabnya, Terengganu FC.

Skuad Peteh adalah antara pasukan terawal dalam Liga Malaysia yang memulakan latihan dan Safawi yang dipinjamkan ke Terengganu dari Johor Darul Ta’zim menganggap latihan awal itu membantu keyakinan dirinya dalam kem kebangsaan kali ini meskipun dalam bulan Ramadan.

“Bagi kami tidak ada masalah berlatih dalam bulan puasa kerana barisan kejurulatihan telah mengatur semua jadual dan kami hanya melakukan latihan pergerakan pada sebelah petang.

Safawi semakin yakin dengan kecergasan dirinya

“Pasukan Terengganu antara pasukan yang paling awal melakukan latihan musim ini dan ianya berintensiti tinggi membuatkan saya rasa tidak ada masalah untuk panggilan kali ini,” katanya ketika ditemui di kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Safawi juga menganggap aksi perlawanan ujian menentang Nepal pada Jumaat adalah satu aksi yang cukup penting untuk semua pemain mendapatkan kecergasan permainan selepas masing-masing sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Perlawanan menentang Nepal bagus untuk kami kerana sudah lama tidak mempunyai kecergasan permainan dan hanya perlu mengikut arahan jurulatih bagi memastikan kami mendapat minit yang sepatutnya.

Aksi Safawi ketika sesi latihan

“Kehadiran pemain-pemain muda dalam pasukan juga sangat baik kerana ianya menambah saingan dengan kesemua pemain mahu merebut tempat dalam perlawanan menentang Oman,” jelasnya.

Harimau Malaya berdepan tugasan getir bertemu Oman di Muscat pada 21 Mac sebelum kembali menemui lawan yang sama di Bukit Jalil pada 26 Mac dengan sebarang keputusan positif akan mendekatkan Malaysia ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.