TAHUN 2024 amat penting buat Muhammad Arif Affifudin Ab Malik kerana bakal menentukan nasibnya untuk melayakkan diri buat kali pertama ke Kejohanan Karate Dunia tahun hadapan.
Karateka negara yang memenangi pingat emas acara kumite 84 kilogram (kg) di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu, berkata, cabarannya bermula di bulan Ramadan ini, kerana kerana dia bersama atlet karate negara akan ke Turkiye bagi menyertai kejohanan K1 Premier League, yang menawarkan mata kelayakan ke Kejohanan Dunia.
“Tahun ini tidak ada kejohanan besar tetapi penting untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia tahun hadapan.
“Ketika ini, saya berada di ranking ke-44 dunia dan perlu berada dalam Top 32 untuk menyertai kejohanan-kejohanan besar,” kata Arif, ketika ditemui.
Karateka berusia 25 tahun itu kecewa kerana gagal memebawa pulang pingat di kejohanan K1 Series A di Larnaca, Cyprus, bulan lalu, selepas tewas pada perlawanan penentuan pingat gangsa, mahu memperbaiki prestasinya.
Mengakui tidak mahu terlepas sesi latihan sepanjang bulan Ramadan, Arif memberitahu, dia ada berbincang mengenai rakan sepasukan bagi membolehkan mereka menjalani latihan pada sebelah malam.
“Di bawah kendalian jurulatih Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy (Mesir), banyak peningkatan tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki terutamanya teknik.
“Jadi sebelum Ramadan lagi, saya sudah berbincang dengan jurulatih dan mendapatkan persetujuan rakan-rakan, kerana dalam karate kebangsaan, hanya tiga orang beragama Islam, majoriti berbangsa India.
“Saya perlu mendapatkan persetujuan rakan-rakan untuk sama-sama menjalani latihan di waktu malam,” kata Arif lagi.
Menurutnya, tahun lalu juga, mereka menjalani latihan jam 10 hingga 12 tengah malam sepanjang bulan Ramadan.
Skuad negara kini berada di Turkiye bagi menyertai kejohanan K1 Premier League bermula hari ini (15 Mac) hingga 17 Mac.
Selepas itu, mereka akan bersaing di K1 Premier League di Kaherah, Mesir pada 19 hingga 21 April.
Sejurus selepas itu, Arif bersama-sama rakannya akan mengambil bahagian pada Kejohanan Karate Asia Tenggara (SeaKAF) yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, 24 hingga 26 April.
“Jurulatih meneruskan rancangan untuk kami menjalani latihan di Mesir, dan kali ini, kami akan berpeluang menjalani latihan bersama karateka elit Mesir.
“Tahun lalu kami menjalani latihan bersama atlet pelapis mereka, itu pun sudah cukup kuat dan pendedahan ini pastinya memberikan manfaat besar,” katanya.