MENJADI impian utama buat setiap pemain bola sepak untuk melebarkan kariernya dan menjadi seorang pemain kebangsaan.
Itu juga merupakan perkara yang diidamkan oleh salah seorang peledak berbisa PDRM FC, Bruno Suzuki, yang nyata sedang memendam rasa dan menunggu rezekinya untuk ‘dinaturalisasikan’.
Bruno yang merupakan antara pemain import paling lama beraksi di kancah bola sepak liga Malaysia telah mengungkapkan keinginannya kepada FLASH SUKAN untuk menjadi wakil Malaysia pada suatu hari nanti, jika posisi itu ditawarkan kepadanya.
“Saya mahu bermain untuk Malaysia. Saya mahu jika pihak tertentu juga mahukan saya.
“Saya sangat hargai jika diberi peluang yang bermakna ini, dan saya juga perlu lebih bekerja keras dalam saingan liga Malaysia seterusnya mendapatkan lebih banyak gol.
“Selepas itu, jika mereka melamar saya untuk sertai mereka, dengan senang hati saya menerimanya,” ujar Bruno kepada FLASH SUKAN.
Segalanya tidak mustahil buat pemain kelahiran Brazil ini untuk menyertai skuad kebangsaan dan diletakkan sebaris dengan pemain naturalisasi lain seperti Romel Molares, Endrick Dos Santos, Muhamadou Sumareh dan Paulo Josue.
Untuk rekod, Bruno mula bertandang di Malaysia sejak tahun 2017 dan ketika itu, Negeri Sembilan FC menjadi pasukan pertamanya di negara ini.
Hanya setahun bersama skuad Jang, pemain berusia 33 tahun itu seterusnya memilih untuk bersama dengan pasukan Terengganu II dari tahun 2018 hingga 2020.
Perjalanan Bruno bersama PDRM FC bermula pada tahun 2021 hingga kini, dan pemain berdarah Jepun itu telah menampilkan aksi yang begitu memberangsangkan dalam saingan bola sepak Liga Malaysia.
Bruno berjaya mencipta 10 gol dalam keseluruhan 25 perlawanan pada musim lalu, sekali gus membantu pasukannya untuk menjulang Piala Cabaran MFL buat kali pertamanya.