PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Nenad Bacina mengesahkan dia meninggalkan kelab itu dan tidak menyambung kontraknya untuk musim 2024-25 sekali gus bakal menyaksikan skuad Warga Kota perlu melantik ketua jurulatih baharu.

Nenad yang kembali ke Cheras pada pertengahan musim menggantikan Bojan Hodak berjaya membawa KL City menamatkan Liga Super di tangga ketujuh dan layak sehingga peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Jurulatih asal Croatia itu mengumumkan perpisahan dengan KL City menerusi hantaran di laman sosial Instagram peribadinya yang mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal buat kelab itu.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan, pemain, barisan pembantu jurulatih, staf sokongan dan tentunya kepada semua penyokong Kuala Lumpur City FC. Ini semestinya bukan selamat tinggal dan saya ucapkan selamat maju jaya buat kelab untuk kejayaan masa hadapan,” umumnya menerusi Instagram.

Nenad memulakan kerjayanya di Malaysia bersama Johor Darul Ta’zim pada 2015 sebagai pembantu jurulatih sebelum menjadi jurulatih Johor Darul Ta’zim II dan Penang FC yang mana dia dipilih untuk menerajui Kuala Lumpur City FC pada musim 2023.

Kejayaan terbesar Nenad dalam Liga Malaysia adalah membantu Bojan Hodak mengendalikan Kuala Lumpur City FC muncul juara Piala Malaysia musim 2021 dan menjadi naib juara Piala AFC musim 2022.

Pengendali KL City, Nenad Bacina umum tinggalkan kelab

Kuala Lumpur City FC kini sedang berdepan masalah kewangan dan persiapan musim 2024-25 bermula agak lambat dan ini mungkin menjadi punca Nenad memutuskan untuk tidak lagi bersama mereka.