KEMUDAHAN fasiliti bertaraf antarabangsa selain kekuatan yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat Asia menyaksikan semakin banyak pasukan mahu menjadikan Johor sebagai kem latihan pusat.

Pada 2022, kelab Indonesia Persis Solo menjalani latihan pramusim mereka di Pusat Latihan Padang Seri Gelam di mana mereka juga telah melakukan lawatan ke semua fasiliti milik JDT termasuk Stadium Sultan Ibrahim.

Untuk musim 2024-25 ini, kelab Thailand pula menjadikan Johor sebagai lokasi latihan mereka sementara menunggu liga mereka bersambung semula kerana memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa kalendar Fifa.

Delegasi Police Tero melawat Pusat Latihan JDT

Police Tero menjadi pasukan pertama hadir untuk menjalani latihan dari 13 hingga 21 Mac dan mereka turut melangsungkan perlawanan persahabatan dengan JDT di mana mereka skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu dibelasah 0-5.

Selepas Police Tero, giliran satu lagi kelab Liga 1 Thailand, Chonburi FC hadir ke Johor Bahru untuk kem latihan serta dua perlawanan persahabatan dengan JDT yang turut menjadi perlawanan pramusim buat Harimau Selatan.

Kelab-kelab Thailand kini mula mahu mempelajari sesuatu dari JDT yang kini adalah antara pasukan terbaik di Asia Tenggara dan juga di tangga ke-13 ranking kelab Asia Fifa.

Menerusi pengumuman yang dibuat menerusi laman sosial rasmi kelab, Chonburi akan membawa 23 pemain untuk berlatih ketika tempoh rehat antarabangsa dan akan beraksi dalam dua perlawanan pada 20 dan 22 Mac di Stadium Sultan Ibrahim.

Kelab berpangkalan di wilayah Chonburi itu kini berada di tangga ke-11 dalam liga selepas 21 perlawanan dan bertarung untuk mengelak penyingkiran selepas hanya dua mata dipisahkan dari pasukan tempat ke-14, Police Tero FC.

Dua perlawanan persahabatan ini juga sudah tentu akan digunakan pengendali JDT, Hector Bidoglio untuk menguji pasukannya sebelum berlepas ke kempen pramusim mereka di Sepanyol pada April.