“SEBENARNYA, kita tidak pernah menyebut tentang Arif Aiman.”

Demikian komen yang dikeluarkan oleh ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Juan Torres Garrido bagi menjawab persoalan tentang ketiadaan Arif Aiman Hanapi dalam pasukan kendaliannya.

Pengendali kelahiran Sepanyol yang sudah bersiap sedia menggalas tanggungjawab untuk memacu pasukan B-23 di kempen Piala Asia B-23 Qatar turut menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan pada para pemain yang sudah sedia ada.

Skuad B-23 Tahun menjalani hari pertama latihan di FAM pada Ahad malam.

Tambahan, dia menganggap bahawa Arif Aiman yang tidak tersenarai ke dalam skuadnya adalah kerana, pihaknya sudah mempunyai perancangan akhir yang terbaik sekali gus tidak pernah memanggil nama pemain sensasi itu sebelum ini.

“Sebenarnya, kita tidak pernah menyebut tentang Arif Aiman. Dia semestinya sudah menunjukkan tahap prestasi dirinya untuk berada dalam kesebelasan utama skuad senior kebangsaan.

“Pemain seperti dia jelas boleh mencipta perbezaan untuk pasukan B-23 tapi seperti yang kita tahu, itu sudah terlambat sekarang.

Arif Aiman kini berada di Oman bersama skuad senior negara.

“Ya perkara ini bagus untuk pasukan kita tetapi kita sudah mempunyai pelan untuk skuad akhir. Sekiranya kita mahu menyenaraikan nama dia, seorang pemain perlu digugurkan,” kata Juan ketika ditemui oleh para pengamal media.

Hari pertama kem latihan pusat buat pasukan B-23 negara telah bermula pada malam Ahad, di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya sekali gus menyaksikan seramai 17 pemain sudah berjaya melaporkan diri.

Pemain selebihnya akan mula menyertai sesi latihan selepas beberapa daripada mereka selesai menjalani tanggungjawab besar di Oman, iaitu mewakili skuad Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.