FINAL pertama Aaron Chia-Soh Wooi Yik musim ini di Seluruh England semalam, bukan satu kegagalan bagi Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, sebaliknya ia melibatkan pertarungan antara kepercayaan diri antara dua pasangan.
Meskipun akur, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto lebih baik berbanding anak didiknya di gelanggang akhir di Utilita Arena, Birmingham, beliau yakin pada satu momen, Aaron dan Wooi Yik mendapat rentak untuk mengubah keputusan perlawanan.
“Sebenarnya waktu score 10-10 (set kedua), mereka (Aaron-Wooi Yik) sudah mendapat rentak tetapi belum cukup solid.
“Banyak melepaskan bola separuh gelanggang sehingga membuatkan pasangan Indonesia lebih mempercayai diri,” kata Rexy, mengulas prestasi anak didiknya.
Pada set kedua itu, Aaron-Wooi Yik yang ketinggalan 6-9 berjaya mengejar dan menyamakan kedudukan 10-10, 12-12 dan 16-16, sebelum tewas straight set 16-21, 16-21 dalam masa 44 minit.
“Fajar dan Rian menguasai di hadapan jaring manakala pergerakan Wooi Yik kelihatan agak berat dan kurang tenang.”
Dalam pada itu, beliau memuji prestasi Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang meraih gelaran Orleans Masters.
Meskipun tidak ditemani jurulatih beregu, beliau menyifatkan sikap gandingan muda itu menaruh kepercayaan kepada mana-mana jurulatih yang mengiringi kejohanan, satu perkembangan yang baik.
“Satu prestasi yang bagus, dan ini bermakna setiap jurulatih mesti mengambil peranan sebagai seorang role model dan pemain wajib mempercayai arahan dan tunjuk ajar daripada mana-mana jurulatih,” kata Rexy.
Semalam, sebelum Aaron-Wooi Yik muncul naib juara di Birmingham, Hon Jian-Haikal terlebih dahulu melakar kejayaan muncul juara Orleans Masters dengan menewaskan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi 21-15, 18-21, 21-14 pada aksi final di Palais des sports.
Gandingan terbabit ditemani jurulatih perseorangan, Hendrawan yang berada di tempat duduk jurulatih di belakang gelanggang, selepas muncul satu-satunya wakil negara mara hingga ke final.
Esok, Hon Jian-Haikal akan mengibar cabaran di Terbuka Switzerland pula dan diundi menentang rakan pemain senior profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di pusingan pertama.