PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini telah menerima kunjungan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membincangkan mengenai penyelarasan program Fifa For School.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai program Penggalakan Bola Sepak Wanita di seluruh Malaysia.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai jalinan kerjasama yang perlu dieratkan di antara FAM dan KPM dalam memperkasakan bola sepak akar umbi dan bola sepak wanita di peringkat sekolah,” kata kenyataan FAM.

Mesyuarat yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya itu dihadiri dan dipengerusikan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, Ketua Unit Akar Umbi FAM, Cameron Ng dan Pengurus Unit Bola Sepak Wanita FAM, Syahidah Nurashikin Samshool.

May be an image of 1 person, newsroom and text

Noor Azman mempengerusikan mesyuarat program Fifa For School di Kelana Jaya.

Manakala KPM pula diwakili oleh Timbalan Pengarah Sektor Kurikulum Kejurulatihan dan Penggalakkan Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Zulkifli Nordin, Ketua Penolong Pengarah Unit Penggalakkan Sukan, Mohamad Nizam Ismail, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPWPP merangkap Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dalizwa Deena Salihin serta 13 ketua penolong pengarah dan tujuh penolong pengarah dari Jabatan Pendidikan Negeri dari seluruh Malaysia.

Sementara itu, FAM turut memaklumkan program baharu yang bakal dijalankan bersama Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian KPM iaitu program Penggalakan Bola Sepak Wanita di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

May be an image of 12 people and text

Delegasi FAM dan KPM bergambar selepas selesai mesyuarat.

Syahidah telah membentangkan berkenaan hala tuju program tersebut serta pendekatan yang bakal diambil oleh kedua-dua belah pihak dalam melestarikan program berkenaan.

Selain itu, kemas kini program Fifa for School telah dibentangkan oleh Cameron Ng yang memperincikan berkenaan inisiatif FAM dalam pemerkasaan bola sepak akar umbi melalui kaedah pembelajaran yang lebih efektif.

Beliau turut berkongsi kaedah pengendalian program dan aplikasi dalam talian yang bakal dimanfaatkan para guru dan pelajar yang terlibat.