PERSEKUTUAN Renang Antarabangsa (FINA) telah meluluskan polisi baharu untuk tidak membenarkan atlet ‘transgender’ menyertai pertandingan acara akuatik wanita.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Kongres Luarbiasa FINA 2022 setelah mendapat 71.5 peratus undian yang menyatakan persetujuan untuk tidak memberi kebenaran untuk atlet transgender beraksi bersama atlet wanita.

Bagaimanapun, FINA memberi kelonggaran kepada atlet transgender untuk menyertai kategori akuatik wanita namun syaratnya haruslah menukar jantina sebelum berusia 12 tahun dan sebelum akil baligh mengikut Skala Tanner.

Presiden FINA, Husain Al-Musallam berkata dia hanya ingin menerapkan elemen keadilan dalam sukan supaya sukan tersebut dapat dilangsungkan dengan melihat tahap keupayaan masing-masing mengikut jantina.

“Kami harus melindungi hak atlet untuk bertanding, tetapi kami juga harus melindungi keadilan kompetitif dalam acara yang dipertandingkan, terutama kategori wanita,” katanya.

Sementara itu, bekas perenang Great Britain, Sharon Davies yang sebelum ini mempertikai penglibatan perenang transgender dalam acara akuatik wanita memuji tindakan yang diambil FINA untuk memastikan semua jantina mendapat keadilan masing-masing.

“Empat tahun lalu, saya menulis kepada IOC dan meminta agar fokus kepada sains terlebuh dahulu. Hari ini, FINA telah melakukannya.

“Mereka telah mengambil kira faktor saintifik, mereka telah melantik orang yang tepat sebagai ketua, mereka telah bercakap kepada atlet dan jurulatih,” jelas Sharon.

Namun begitu, ia mendapat tentangan kumpulan penyokong tegar sukan LGBT ‘Athlete Ally’ yang sebelum ini menghantar surat kepada Thomas Februari lalu bagi menyatakan sokongannya terhadap LGBT.

“Bagi saya, ia tindakan yang sangat membinasakan, diskriminasi, tidak saintifik dan tidak sealiran dengan Prinsip IOC 2021,” ujar kumpulan sokongan LGBT tersebut kepada BBC.