WARTAWAN media Oman Observer, Adil Al Balushi sedar akan cabaran yang bakal diberikan Malaysia namun dia tetap memilih Oman sebagai pemenang pada aksi ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Khamis.

Adil yang banyak membantu media Malaysia dari sudut penterjemahan ketika sesi sidang media pra perlawanan di Muscat juga turut optimis negara kelahirannya itu mampu meraih tiga mata meskipun ini adalah perlawanan pertama di bawah kendalian jurulatih baharu.

“Malaysia memberikan persembahan yang sangat baik pada aksi terakhir mereka dan sekarang mereka mendahului kumpulan dengan enam mata dari dua perlawanan dan saya jangkakan satu lawan yang sukar buat Oman namun saya memilih Oman untuk menang 1-0.

Adil Al Balushi ketika ditemubual Flash Sukan

“Oman pula akan bermain dengan barisan kejurulatihan yang baharu namun kami yakin mereka yang mampu berikan kemenangan meskipun dalam tempoh yang singkat kerana pemain Oman sangat harmoni antara mereka dan sudah bersedia untuk mengikut arahan jurulatih,” katanya ketika ditemubual FLASH SUKAN.

Adil yang fasih berbahasa Inggeris itu juga menjangkakan stadium yang penuh hasil beberapa usaha yang dilakukan Oman FA untuk menarik minat penyokong tempatan meskipun ada gerakan memboikot aksi skuad kebangsaan.

“Kami jangkakan ramai penyokong akan hadir ke stadium walaupun ada segelintir yang kecewa kerana keputusan yang buruk diperolehi pasukan kebangsaan di Piala Asia Qatar baru-baru ini.

Barisan kejurulatihan baharu Oman

“Tetapi kita bercakap tentang perlawanan yang cukup kritikal dan saya yakin akan ramai penyokong akan hadir ditambah pula dengan hadiah enam kereta menerusi cabutan bertuah,” jelasnya.