LEGENDA berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan mengakui terguris, apabila ada pihak menuduhnya bersikap rasis.
Luahan rasa legenda yang banyak berbakti menaikkan nama pelumba tempatan itu, bersangkut dengan dakwaan segelintir ibu bapa pelumba dari Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) yang membangkitkan isu rasis dalam pemilihan pelumba.
Bepengalaman sebagai jurulatih sejak 30 tahun lalu berkata, ketegasan Joo Ngan, mungkin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ibu bapa pelumba, sehingga mendorong mereka membuat tuduhan sedemikian.
Berbekalkan pengalamannya, dan hanya meraih elaun RM2,500 sebagai jurulatih Kuala Lumpur pada usia 77 tahun, Joo Ngan langsung tidak pernah mempertikaikannya.
Malah, Khidmat Joo Ngan masih releven apabila berjaya membawa skuad berbasikal negara meraih emas di Sukan SEA Vietnam 2021.
Isu rasis yang dibangkit ibu bapa pelumba Kuala Lumpur, itu ditimbulkan setelah mereka tidak berpuas hati dengan layanan Joo Ngan.
Malah, peletakan jawatan Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), Datuk Razlan Razali, selepas kurang sebulan dipilih sebagai presiden, turut dikaitkan dengan isu itu.
Selain itu, difahamkan ibu bapa pelumba juga menimbulkan persoalan terhadap KLCA yang didakwa tidak membayar elaun kepada pelumba tertentu, serta layanan umum terhadap pelumba daripada kaum tertentu.
“Kelab kami sangat susah, banyak orang kata pilih kasih, rasis (tetapi) semua itu tipu. Saya mana ada rasis.
“Kalau kamu menjadi jurulatih, kamu tidak boleh berbuat sebegitu,” kata Joo Ngan dalam sidang media, menjelaskan situasi dialami KLCA selepas Razlan mengeluarkan satu kenyataan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris, mengenai penarikan dirinya sebagai presiden, semalam.
“Jika kata saya rasis, saya tak ambil anak angkat Melayu, saya tak jaga (Datuk) Azizulhasni Awang dulu.
“Saya tak bawa Effandy Rosli, Suhaimi Keton, M Kumaresan. Mereka semua itu siapa. Siapa yang bawa mereka dulu sehingga mereka berjaya. Siapa kata saya pilih kasih kalau tengok semua itu.
“Saya hanya terima elaun RM2,500 untuk jaga pelumba Sukma (Sukan Malaysia) dari Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP). Habis Sukma… dah tak ada elaun lagi.
“Elaun untuk pelumba berumur 12, 13, 14 tahun memang tak ada. Tapi macam mana nak bagi elaun kalau datang latihan pun sekali dua,” katanya.
Dalam pada itu, Joo Ngan mengakui, dia seorang yang tegas dan menekankan disiplin dalam latihan.
Pelumba yang tidak mengikut jadual latihannya memang tidak akan diberi muka.