HAJAT skuad Harimau Malaya untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata disekat tuan rumah, Oman apabila tewas 0-2 dalam aksi ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Muscat.
Barisan kendalian Kim Pan-gon mempamerkan aksi bertenaga pada babak pertama dengan berjaya menekan pasukan di tangga ke-80 dunia itu dengan semua pemain mempamerkan kecergasan yang baik.
Oman yang bermain di hadapan ribuan penyokong sendiri seperti dijangka mengasak bertubi-tubi ke gawang Malaysia namun barisan pertahanan serta Syihan Hazmi berjaya mematahkan serangan lawan untuk kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, Oman menambah intensiti serangan dengan Malaysia lebih banyak bertahan dan sesekali cuba melakukan serangan balas pantas menerusi Arif Aiman dan Faisal Halim.
Kesungguhan Oman menyerang akhirnya terbalas pada minit ke-59 apabila Issam Al-Sabhi merembat deras menewaskan Syihan selepas menerima hantaran menarik daripada Ali Sulaiman Al Busaidi untuk memberikan kelebihan awal buat anak-anak buah Silhavy Jaroslav.
Tersentak dengan gol itu, Kim Pan-gon melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Paulo Josue, Azam Azmi Murad, Akhyar Rashid dan Endrick Dos Santos untuk menambah tekanan kepada Oman untuk mencari gol penyamaan.
Silhavy juga turut melakukan empat pertukaran dengan dia dilihat mahu bermain secara bertahan dan berpuas hati dengan kelebihan satu jaringan yang diperolehi.
Kem Malaysia bergempita seketika pada minit ke-81 selepas Paulo Josue berjaya menolak bola ke gawang Oman namun dia terlebih dahulu dikesan berada pada posisi ofsaid oleh pembantu pengadil dari China.
Ketika asyik mengasak, pemain Oman berjaya melepasi kawalan pertahanan dan Muhsen Al-Ghassani mudah menolak bola masuk untuk gol kedua sekaligus melengkapkan kemenangan keatas Malaysia.
Dengan kemenangan ini, Oman merampas tempat teratas dengan enam mata tetapi dibezakan menerusi perbezaan jaringan manakala Malaysia pula turun ke tangga ketiga juga dengan enam mata selepas tiga perlawanan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac dengan Harimau Malaya sudah pasti mahu kembali mencipta kemenangan bagi memastikan langkah ke pusingan seterusnya tidak terhenti awal.