KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) teruskan misi untuk menambah dan menguatkan skuad untuk musim 2024/25.

Terbaharu, pengurusan skuad Sang Kenari mengumumkan tonggak import dari Haiti, Sony Norde sebagai pemain import terbaru pasukan itu.

Nama Sony Norde tidak asing lagi dalam Liga Malaysia apabila sudah bermain dengan beberapa pasukan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini seperti Melaka United dan Terengganu.

Sony Norde telah menjaringkan LIMA gol dalam saingan liga untuk Terengganu FC musim lepas. (Sumber Gambar: FB TFC)

Mengikut data Transfermarkt, bekas pemain import Terengganu itu telah menjaringkan sembilan gol dan mencipta 13 bantuan gol untuk pasukan Pantai Timur itu musim lepas.

Difahamkan pasukan KDA FC telah memantau serta menyatakan minat untuk mendapatkan pemain itu sejak musim lepas lagi.

Kehadiran Sony dalam skuad Sang Kenari dapat menguatkan lagi jentera serangan pasukan itu yang juga mempunyai Syafiq Ahmad dan Sukhrob Nurulloev.

Pemain berusia 34 tahun itu mencipta nama di dalam saingan Liga Malaysia apabila sering menghasilkan gol yang menakjubkan serta gerakannnya yang sangat lincah sehingga menyukarkan pemain lawan untuk menjaganya.