APA nak jadi bola sepak Malaysia? Ketika kemelut Perak FC yang berhadapan masalah tunggakan gaji tak dibayar belum berkesudahan muncul dakwaan kononnya berjangkit kepada pasukan Liga M3 pula.

Namun begitu, khabar angin ini segera ditepis Presiden Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Yusoff Mahadi (gambar) ketika dihubungi.

“Setakat ini saya belum terima sebarang laporan rasmi dari pasukan bertanding masalah gaji sangkut sama ada dari pemain, jurulatih atau pasukan itu sendiri.

“Liga berjalan ikut jadual dan saya pun tak dengar pula ada bunyi-bunyi pasukan yang tak berkemampuan membayar gaji pemain,” ujarnya kepada Flash Sukan pada Sabtu.

Menurut Yusoff, selagi kelab atau pasukan yang beraksi masih meneruskan saingan beliau menganggap tiada isu berbangkit seperti diura-urakan.

“Tiada apa yang diberitahu kepada pihak kami. Selagi mereka masih bersaing, bertanding ke tempat lawan, masih bernyawa kata orang.  Jadinya, tiada isu,” tambahnya.

Terdahulu, tular sekeping foto di laman sosial dipercayai luahan beberapa pemain dari sebuah pasukan yang kini beraksi di saingan Liga M3.

Flash Sukan mendapat maklumat ia berkaitan dengan isu tunggakan gaji tiga bulan sehingga ada pemain yang didakwa meminjam dengan pihak luar bagi meneruskan kehidupan.

Sebanyak 20 buah pasukan bertanding dalam saingan Liga M3 musim ini. Kesemuanya pasukan dibahagikan kepada Kumpulan A dan Kumpulan B di mana setiap kumpulan terdiri daripada 10 pasukan.

Saingan peringkat kumpulan ini akan dilangsungkan secara timbal balik atau ‘double round robin’. Empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan melayakkan diri ke peringkat suku akhir.