PENYERANG naturalisasi negara, Romel Morales gembira dengan sikap yang ditunjukkan seluruh pasukan kerana berjaya menekan Oman meskipun tewas 0-2 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada Khamis.
Dia yang bermain penuh 90 minit bergandingan baik bersama Arif Aiman dan Faisal Halim namun sentuhan akhir masih menjadi masalah buat Harimau Malaya dan dia mahu mengatasinya pada aksi seterusnya di Bukit Jalil.
“Kami sudah lakukan yang terbaik dan saya bangga dengan persembahan pasukan meskipun tewas. Kami berjaya beri tekanan pada Oman dan dapat dilihat selepas mereka menjaringkan gol mereka hanya bertahan dan kami menguasai permainan.
“Cuma sentuhan akhir kami tidak menjadi namun apa yang penting adalah sikap pasukan dalam aksi ini dan kini perlu fokus pada perlawanan seterusnya di laman sendiri,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Bekas pemain Kuala Lumpur City FC itu juga sedar apa yang pasukan perlu lakukan di Bukit Jalil dan yakin mereka mampu dapatkan tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri.
“Sudah tentu kami mampu beri saingan kerana kami bekerja keras dan tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini. Jika dilihat, kami berjaya menekan mereka dan mungkin akan cuba mencari gol awal untuk menambah tekanan, jadi kami tahu apa yang perlu dilakukan,” jelasnya.
Malaysia berjaya menggegar gawang Oman pada penghujung babak kedua menerusi Paulo Josue namun dibatalkan kerana ofsaid dan Romel tidak mahu memberikan komen lanjut kerana kedudukannya yang tidak selari dengan bola ketika itu.
“Saya tidak boleh memberikan komen kerana saya tidak berada di kawasan itu tetapi ini semua adalah sebahagian daripada bola sepak. Kita hanya perlu lupakan dan terus fokus pada perlawanan selepas ini,” ujarnya.
Malaysia kini memerlukan kemenangan di laman sendiri untuk memastikan momentum berterusan sekali gus kembali membuka laluan ke peringkat ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan bermula pada September 2024.