DATUK Ng Joo Ngan tidak lagi relevan dalam dunia kejurulatihan berbasikal hari ini!
Demikian menurut Nor Azila Ab Razak, wakil ibu bapa bekas atlet yang bernaung di bawah Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA).
Nor Azila bersama kira-kira 20 ibu bapa dan juga bekas pelumba KLCA hadir pada satu pertemuan dengan media, menjelaskan situasi sebenar dihadapi pelumba dan layanan persatuan berbasikal terbabit terhadap keluarga pelumba.
Sambil mengakui, jurulatih berbasikal KLCA, Datuk Ng Joo Ngan mempunyai pencapaian yang baik pada zaman kegemilangannya, namun faktor usia yang kini mencecah 77 tahun menjadi persoalan.
“Sekarang dia dah lebih 70 tahun, kita memerlukan jurulatih yang sentiasa up to date dengan sains sukan, serta menggunakan kaedah latihan terkini,” kata Nor Azila, mengulas mengenai regim latihan yang diamalkan Joo Ngan dalam melatih pelumba.
Malah katanya, Joo Ngan lebih menitik beratkan soal emosinya dalam membuat keputusan, berbanding prestasi pelumba sehingga ada atlet yang menjalani latihan di bawahnya dipinggirkan.
“Elaun pelumba diberikan mengikut mood dia, kami tidak boleh berurusan dengan cara begini… kami perlukan seorang jurulatih yang rasional.
“Kebanyakan pelumba terkesan dengan isu pemberian elaun ini dan kita sudah merujuk kepada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bahawa elaun tidak hannya kepada atlet Sukma (Sukan Malaysia) tetapi juga pelbagai elaun lagi termasuk setiap kali mengikuti kejohanan,” tambah Nor Azila.
Beliau juga mempersoalkan alasan digunakan Joo Ngan bagi menafikan dakwaan bahawa jurulatih terbabit bersikap rasis terhadap pelumba, hanya semata-mata beliau pernah berkawan dan melatih pelumba berbangsa lain.
“Bukan kami yang menggunakan perkataan rasis itu, dia yang menggunakan agama kami untuk diperlekeh, mempersoalkan pelumba mengerjakan solat.
“Banyak lagi perkara tidak adil dan kami sebagai ibu bapa tidak tahan lagi,” katanya.
Berikutan itu, Nor Azila berkata, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat mengenai pelbagai masalah yang timbul dengan KLCA itu.