PELUMBA Olimpik, Muhammad Shah Firdaus Shahrom meraih pingat perak dalam acara akhir keirin lelaki selepas tumpas kepada pelumba Jepun, Kohei Teraski pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, pada Isnin.
Pingat gangsa menjadi milik pelumba Kazakhstan, Sergey Ponomaryov.
“Alhamdulillah. Selesai tugas untuk hari pertama dan kedua Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2022.
“Hari 1 – Syukur dan gembira berjaya bantu dapatkan pingat perak untuk acara Team Sprint dan memperbaiki catatan masa peribadi bagi kedudukan 2nd man.
“Hari 2 – Turun ke trek dengan misi untuk membawa pulang gelaran juara Asia bagi acara Keirin setelah sekian lama Malaysia ketandusan emas dalam acara tersebut.
“Telahpun sedaya upaya berusaha namun takdir Allah belum rezeki pingat emas jadi milik Malaysia,” tulis catatan Muhammad Shah Firdaus di Facebook.
Pelumba kelahiran Muar, Johor itu memberitahu saingan agak sengit apabila wakil Jepun berjaya memintas di garisan penamat.
“Namun, secara peribadi saya masih berpuas hati dengan corak kayuhan saya. Alhamdulillah.
“Terima kasih semua yang menyokong dan mendoakan Team Malaysia kerana berkat doa kalian, kami berjaya ke podium.
“Semoga doa kalian mengiringi kayuhan kami semua di sini,” ujarnya lagi.
Esok, akan berlangsung acara Sprint dan dia berazam akan melakukan yang terbaik.