PERTAHANAN Harimau Malaya, Shahrul Saad tidak gentar dengan kekuatan fizikal pemain-pemain Oman sebaliknya percaya dia dan rakan sepasukan mampu untuk memberikan tiga mata penuh dalam aksi keempat Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Shahrul atau mesra disapa Badak juga mahu aksi sepenuhnya diberikan oleh semua pemain Harimau Malaya di laman sendiri bagi memastikan Malaysia tidak lagi keciciran mata sekali gus kembali menerajui kumpulan dengan berbaki dua perlawanan.

“Selepas kekalahan di sana ianya satu keputusan yang mengecewakan kerana kami mahu pulang dengan mata dan sudah pasti akan ada pertukaran formasi terutama di bahagian serangan kerana kita tidak mahu hilang mata dan kami akan berikan segalanya di tempat sendiri.

Badak tidak mahu Harimau Malaya terus keciciran mata

“Sebagai satu pasukan, kami sudah bermain dengan baik tetapi kami bertemu pasukan yang kuat dan pandai ambil kesempatan atas kelemahan pasukan tetapi saya yakin kami mampu lakukan sesuatu dan raih kemenangan di tempat sendiri.

“Dalam setiap perlawanan kita serius dalam bertahan dan menyerang tetapi apabila bermain di tempat lawan, kita perlu bertahan dulu kerana tahu kekuatan lawan tetapi di Bukit Jalil nanti kita tidak boleh bertahan terlalu lama dan bermain sebagai satu pasukan untuk dapatkan kemenangan,” katanya.

Dia juga mengakui bahawa Oman adalah lawan yang sukar tetapi tidak sekuat pasukan Asia Barat lain yang ditentang ketika kempen Piala Asia dan mahu Harimau Malaya lebih bermain dengan taktikal menyerang dan bukannya bertahan.

Shahrul ketika sesi latihan di Muscat

“Saya rasa mereka tidak cukup kuat seperti ketika kami bertemu pasukan lain di Piala Asia tetapi kita mampu lakukan sesuatu dan sudah pasti mempunyai kekuatan sendiri dan ambil peluang tewaskan mereka di laman sendiri.

“Pada saya fizikal Oman juga tidak main peranan kerana kita juga mempunyai pertahanan yang tinggi dan ini bukannya masalah cuma kita perlu kawal apa yang mereka lakukan dan saya percaya kami mampu lakukan sesuatu kerana apa yang penting kita tidak mahu hilang mata,” ujarnya.