BAGI memastikan kewangan pasukan berjalan dengan lancar, pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC telah bercadang untuk mengurangkan jumlah peruntukan kelab sebanyak 35 peratus, menjelang saingan bola sepak yang akan berlangsung musim ini.

Inisiatif yang akan dijalankan ini dapat memberi impak positif terutama dari segi membantu menstabilkan ekonomi kewangan kelab, sejurus merangka kembali bajet pasukan untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah penggunaan wang berlebihan ‘over budget’.

Perkara positif ini telah dikongsikan sendiri oleh Pemilik Kedah FC, Tan Sri Daud Bakar yang optimis dapat mengembalikan semula sinar dalam pasukan Kedah, jika perancangan yang dibuat itu dapat diguna pakai sejurus menerima sokongan daripada pelbagai pihak termasuk penyokong Kedah sendiri.

Tan Sri Daud Bakar mengumumkan pengurangan bajet pasukan dalam sidang media pada pagi Isnin.

“Pengurangan bajet ini memandangkan 2024/25 adalah musim pertandingan yang abnormal melibatkan tempoh kontrak sekitar 14-15 bulan memberi kesan kapada perancangan kewangan yang berbeza dari musim sebelum ini.

“KDA FC juga turut terharu dengan kepercayaan semua pemain dan staf termasuklah pemain baharu yang diikat musim ini, walaupun mereka menerima gaji yang lebih kecik daripada pasukan sebelumnya.

“Faktor penurunan gaji dari musim ini juga tidak menjadi penghalang untuk pemain ini kembali membantupasukan Sang Kenari,” ujarnya dalam sesi sidang media pada Isnin.

Tidak hanya itu, Daud Bakar turut mendedahkan bahawa pihaknya akan membuka cabang baharu iaitu dari segi perniagaan demi menjana pendapatan kelab, memandangkan pendapatan dari bola sepak sahaja tidak mencukupi untuk menampung kos operasi kelab.

Para pemain akur dengan penurunan jumlah gaji akibat masalah kewangan yang terpalit pada pasukan. 

“Dalam sasaran musim 2024/25, pihak pengurusan akan meneruskan usaha pengkomersialan barangan KDA FC, antaranya melalui cara baharu pengumpulan dana kelab.

“Beberapa langkah awal sedang di atur dengan memperbaiki portfolio struktur digital kelab melalui naik taraf laman digital bagi memudahkan pembelian dan akan berkerjasama dengan pihak swasta dalam meningkatkan bilangan projek merchandise yang akan dilancarkan bermula tahun ini.

“KDA FC sentiasa terbuka kepada idea dan jalinan baharu dengan mana-mana pihak, menjemput anda semua untuk berhubung dengan pengurusan kelab dalam melihat ruang dan peluang untuk menyumbang dana kepada kelab ini,” kata beliau.