KEJUARAAN yang diraih Goh Soon Huat-Shevon Lai pada Terbuka Switzerland semalam, mahu diteruskan ke Madrid, apabila gandingan pasangan kekasih itu dijadual menyertai Madrid Spain Masters, yang akan memulakan saingannya pada Selasa.

Menurut Shevon, kejuaraan yang diraih di Switzerland selepas pada penampilan final ketiga berturut-turutnya di kejohanan itu amat bermakna buat mereka berdua.

“Ia memberikan satu perasaan yakin yang sangat baik tetapi di Madrid adalah minggu berbeza dan kami bermula dengan kosong.

“Kami mahu rehat dengan baik dan melupakan apa yang sudah dilalui.

Gandingan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai beroleh semangat tambahan untuk dibawa ke Madrid.

Pada final Terbuka Switzerland, Soon Huat-Shevon mengatasi gandingan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-16, 21-13 pada aksi yang berlangsung di St Jakobshalle di Basel.

Mengulas mengenai kejayaan mereka menjuarai kejohanan terbabit, Shevon berkata, pemikiran positif sepanjang minggu di Basel memudahkan mereka berdua mengawal emosi: “Kami berjaya elakkan daripada meletakkan diri dalam keadaan gementar, kami hanya mempercayai kemampuan diri dan fokus kepada setiap tindakan dalam gelanggang.”

Pada perlawanan itu, Soon Huat-Shevon mempamerkan permainan menyerang dan kurang melakukan hantaran tinggi sehingga memerangkap permainan Tang Jie dan Ee Wei.

Pada Madrid Spain Masters, Soon Huat-Shevon yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, akan membuka saingan menentang pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi.