KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) terus memperkemaskan jentera pasukan mereka dengan pengumuman penandatanganan seorang import baru untuk musim 2024-2025.

Penyertaaan import baru ini dijangka akan memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan menjelang saingan yang akan datang.

Milos Gordic, pemain yang berasal dari Cacak, Serbia akan menggalas watak sebagai penyerang baharu Kedah FC, sekali gus membantu untuk meruntuhkan tembok pertahanan pasukan lawan pada aksi perlawanan akan datang.

“Beliau mempunyai fizikal sasa dan berketinggian 1.87 meter, sebelum ini, dia pernah beraksi buat kelab Wuxi Wugo FC (China), kontrak pertama beliau diluar dari Serbia.

Milos telah menampilkan prestasi terbaik sepanjang kariernya bersama pasukan-pasukan sebelum ini.

“Dengan nama import baharu di Liga Malaysia, serta memegang rekod dan pengalaman yang baik, tidak mustahil bakal menjadi senjata pemusnah Sang Kenari dalam menempuh cabaran musim ini!

“Milos akan tiba jam 2.30 petang ini di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas dan akan disambut oleh pengurusan kelab, pasukan dan ketua jurulatih bagi meraikan kedatangan ke bumi jelapang padi sebagai pemain Sang Kenari,” menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Facebook Kedah FC.

Untuk rekod, Milos sebelum ini telah berjaya meledak 31 gol dan 10 bantuan gol dalam 131 penampilan profesionalnya, oleh itu, Kedah telah berusaha untuk mengikat khidmat penyerang dari Serbia ini.

Dua lagi pemain import yang telah diumumkan sebelum ini, Sony Norde dan Habib Haroon pula dikhabarkan telah memulakan latihan pra musim secara rasmi bersama pasukan Sang Kenari.