LIVERPOOL kini berada pada momentum terbaik dengan mengambil seorang lagi pemain berbakat besar Calvin Ramsay dari Aberdeen selepas berjaya mendapatkan penyerang Benfica FC Darwin Nunez.

Ramsay sangat teruja apabila disahkan bakal bersama antara kelab gergasi England untuk saingan liga musim hadapan.

“Ia adalah mimpi jadi realiti untuk beraksi buat pasukan Aberdeen, dan kini berada dalam satu kelab besar, mempunyai rekod pencapaian menakjubkan dan saya akan menunjukkan penyokong apa yang saya boleh lakukan.

“Saya berharap saya dapat bermain dalam perlawanan pra-musim, untuk menunjukkan kepada semua dalam kelab itu, staf, pemain, apa yang saya mampu dan kita akan lihat apa yang akan terjadi dari situ,” katanya.

Mengikut perjanjian, Liverpool akan membayar Aberdeen 4 juta  euro sebagai wang pendahuluan, manakala tambahan 2.5 juta euro akan diberikan berdasarkan penampilan dan prestasi pasukan.

Dengan termeterainya kontrak tersebut, ia merupakan pengambilan ketiga pemain baru skuad kendalian Jurgen Klopp, setelah kemasukan Darwin Nunez dan Fabio Carvalho.

Pemain berusia 18 tahun dari Scotland itu turut memenangi ‘Scottish Football Writers’ Association’s Young Player of the Year’ musim lepas setelah melengkapkan laporan perubatannya pada 19 Jun sebelum dibenarkan turun berlatih dalam pasukan The Reds.