PETARUNG sensasi Malaysia, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar bakal mula bertanding dalam Kejohanan Muay Thai ONE Championship yang akan berlangsung pada 7 Jun depan.
Johan yang berumur 18 tahun telah mencuri tumpuan peminat muaythai kerana akan berhadapan dengan jaguh Vietnam nombor satu, Nguyen Tran Duy Nhat di Impact Arena, Bangkok, Thailand.
Pemuda yang turut mesra disapa dengan panggilan ‘Jojo’ telah bersedia untuk menghangatkan aksi tersebut, setelah berehat panjang sebelum ini demi menumpukan perhatian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Duy Nhat yang bakal menjadi lawan Jojo merupakan seorang pesaing yang hebat dan bukan calang-calang orangnya.
Dirinya telah meraih kemenangan KO berturut-turut, sejurus mempamerkan aksi yang luar biasa dalam Kejohanan ONE Championship yang disertainya buat kali pertama.
Kemenangannya ke atas Jojo akan menjadi hasil besar bagi veteran berusia 35 tahun itu, kerana dia berpotensi untuk mencuri sebahagian dari momentum saingannya yang masih muda dan sedang berkembang.
Sementara itu, difahamkan bahawa Jojo yang menetap di Malaysia bersama ibu bapanya telah mempunyai hubungan yang akrab bersama atlet-atlet kebangsaan Thailand.
Ramai yang memanggilnya sebagai ‘Rodtang Jitmuangnon’ baharu, namun petinju muda ini menyifatkan bahawa dirinya akan mencipta namanya di atas kerja keras sendiri.