PENJAGA gol muda negara, Sikh Izhan Nazrel mengakui tergugat apabila kehilangan seorang tonggak pasukan Bawah 23 (B-23), Azam Azmi Murad yang ditimpa kecederaan serius semasa aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 bersama skuad senior.
Baginya, insiden yang dialami oleh rakannya ketika aksi menentang Oman itu adalah satu perkara luar biasa, dan dirinya juga terpaksa akur akan ketiadaan Azam menjelang aksi Piala Asia B-23 di Doha, Qatar yang akak berlangsung tidak lama lagi.
“Apabila saya melihat Azam terbaring di padang dan beri isyarat untuk buat pertukaran, saya dapat rasa itu kecederaan yang berbeza, bukan kecederaan yang biasa.
“Ketiadaan dia merupakan sesuatu perkara yang kurang memuaskan sebab kita ada pemain bernama besar seperti Azam dengan pengalaman dua musim lebih bersama Terengganu FC.
“Oleh itu, kehilangannya dalam pasukan mungkin sedikit sebanyak akan menggugat prestasi pasukan.
“Namun, Juan Torres Garrido juga sudah mempunyai perancangan tersendiri tentang siapa yang bakal gantikan posisi Azam. Kita akan lihat untuk Piala Asia (B-23) nanti,” kata Sikh Izhan ketika ditemu bual di Wisma FAM pada Jumaat.
Dalam masa yang sama, Sikh Izhan turut mendedahkan bahawa pengalamannya bersama skuad utama Harimau Malaya telah menjadikan dia lebih berani untuk bersaing dengan lebih bagus pada masa hadapan.
Diletakkan sebaris dengan penjaga gol seniornya, Ahmad Syihan Hazmi dan selain itu bersama Azri Ghani serta Suhaimi Husin telah memberi satu pengalaman dan tunjuk ajar terbaik buat dirinya untuk diaplikasikan dalam skuad B-23, sekali gus merebut posisi penjaga gol di kesebelasan utama nanti.