PERASAAN menonton perlawanan bola sepak di stadium dan di rumah memberikan pengalaman berbeza setiap peminat dan serta penyokong.

Masing-masing ada cara dan gaya untuk menikmati perlawanan yang disajikan tanpa mengira kalah atau menang.

Bagaimanapun, semasa siaran langsung di Youtube TBG.TV pada Ahad ada gelagat pengulas yang mencuit hati ramai di media sosial terutamanya kepada peminat Perak FC.

Muhd Hafiz Sudin atau lebih dikenali sebagai Desaifer mendapat reaksi tanda setuju luar biasa semasa membuat ulasan perlawanan persahabatan Perak bertemu Christian Universiti Korea (KCC).

Desaifer semasa menemubual Stipe Plazibat sebelum perlawanan bermula di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.

Memetik komennya dalam Facebok Perak the YOB, Muhd Hafiz berterima kasih kepada semua peminat The Bos Gaurus di atas sokongan yang diberikan sepanjang mengulas dua aksi persahabatan untuk Perak FC.

“Sepanjang abe mengulas bola, perlawanan terakhir menentang KCC akan abe kenang sampai bila-bila.

“Abe harap semua terhibur dengan ulasan yang abe berikan dan abe yakin dan percaya, ini adalah kali pertama gaya santai dipersembahkan kepada para penyokong.

“Ampun maaf dipinta kalau ada salah silap dari abe. Untuk kenal siapa abe lebih lanjut, boleh cari abe di my Facebook Page Desaifer.

“Jika diberi peluang, kepercayaan dan dipanggil kembali, abe akan datang untuk memberikan terbaik kepada Perak FC.

“KEJOR YOB KEJOR!!! #KasiGEGAR ,” katanya yang diiktiraf Malaysian Book of Records sebagai pengulas rasmi pertama Kejohanan Piala Dunia eFIFA.

Ulasan Desaifer dan Matthews Izzac (Matt) diiktiraf Malaysian Book of Records.- Foto Facebook Desaifer

Muhd Hafiz merupakan antara pengulas terkenal dalam arena e-sukan, terutama bagi permainan video FIFA.

Laporan media tempatan mendedahkan dua pengulas dari Malaysia dipilih untuk menjadi pengulas rasmi oleh FIFA bagi kejohanan FIFAe Club World Cup 2021- Pusingan Akhir.

Desaifer ditugaskan untuk mengulas dalam bahasa Malaysia manakala Matthews Izzac (Matt) untuk Bahasa Inggeris.