PEMAIN skuasy muda negara, Ameeshenraj Chandaran mencipta fenomena apabila merangkul kejuaraan terbesar dalam kerjaya skuasy profesional, apabila menjulang gelaran Terbuka Kelab Kriket Liverpool.

Pemain berasal dari Seremban, Negeri Sembilan yang berada di ranking ke-134 dunia, mencipta kejutan demi kejutan di kejohanan bertaraf 15k terbabit.

Berdepan pemain pilihan ketujuh dari Republik Czech, Viktor Byrtus, Chandaran, 20, tidak mempedulikan reputasi lawan yang mempamerkan prestasi luar biasa menewaskan dua pemain berbisa Mesir, Muhammad Asim Khan dan Kareem El Torkey sebelum ke final.

Ameeshenraj Chandaran menjulang trofi kejuaraan yang dimenanginya. |FOTO PSA TOUR

Begitupun, Chandaran membenarkan Byrtus memimpin perlawanan apabila ketinggalan 3-5 sebelum bangkit dengan kemenangan 11-6, sebelum menutup aksi dengan 11-3, 11-5 pada dua set berikutnya dalam tempoh 32 minit.

“Sejujurnya lidah saya kelu… menjuarai kejohanan 15k… bunyinya agak menarik!” kata Chandaran selepas muncul juara.

Menurutnya, selepas mengharungi setahun yang mencabar, gagal mendapatkan keputusan yang diinginkan sejak beberapa bulan lalu, kejayaan itu ternyata memberi kepuasan.

Reaksi Ameeshenraj Chandaran selepas memenangi gelaran di kejohanan bertaraf 15k pertamanya.

“Sejak itu, saya berkerja keras bersama jurulatih dan amat lega mendapat kemenangan hari ini.

“Penyokong di Liverpool luar biasa, setiap kali saya kepenatan, adrenalin saya sentiasa meningkat,” katanya.

Pada dua pertemuan terakhir, Chandaran memiliki rekod bersih kemenangan ke atas Byrtus yang berusia 24 tahun itu.

Malah, sepanjang minggu ini, Chandaran mempamerkan prestasi luar biasa dengan mengatasi pemain Mesir, Moustafa Elsirty (106) di suku akhir dan pemain nombor 70 dunia dari England, Ben Smith (separuh akhir) yang belum pernah ditewaskannya sebelum ini.