BARISAN kedua beregu lelaki negara terus mencipta sensasi apabila Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King melangkah ke final Kejohanan Badminton Masters Sepanyol di Madrid.

Aksi mengagumkan dari Arif-Roy King menyaksikan mereka iada masalah mengatasi gandingan adik beradik ranking 45 dunia dari Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov, dengan kemenangan straight set 21-17, 21-17.

Tanpa tekanan, gandigan negara yang bukan pilihan, tenang menguasai gelanggang, mula selesa dengan corak permainan mereka apabila mendahului 18-12 di set pertama.

Yap Roy King-Wan Arif Junaidi muncul juara Kejohanan Kebangsaan 2023.

Mereka seterusnya mula mengatur strategi di set kedua namun diberi tentangan sengit oleh lawan apabila saling berkejar mata demi mata sebelum menang dalam tempoh 32 minit.

Kali terakhir Arif-Roy King ke final adalah di Kejohanan Antarabangsa Nantes 2023, di Perancis yang menyaksikan mereka muncul juara.

Menanti beregu ke-65 dunia itu di final, pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang menewaskan William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark.

Sebagai rekod, pemenang acara beregu pada kejohanan Jelajah Dunia Super 300 itu akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM78,419) manakala juara perseorangan bakal meraih AS$15,750 (RM74,416).