KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya B-23 tahun, Juan Torres Garrido mengakui tempoh dua minggu di Doha, Qatar adalah detik paling kritikal dalam persiapan terakhir skuadnya sebelum menghadapi Kejohanan Piala Asia AFC B-23 yang berlangsung dari 15 Mac hingga 2 April.
Garrido yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Doha turut menjelaskan bahawa tiga perlawanan persahabatan yang sudah diatur di sana akan digunakan olehnya untuk mengenalpasti kesebelasan utama.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam akan bertemu China dan tuan rumah Qatar dalam siri perlawanan persahabatan sebagai tambahan kepada dua aksi persahabatan menentang India di Kuala Lumpur minggu lalu.
“Kami sudah berlatih selama dua minggu di Kuala Lumpur namun hanya dua hari dengan skuad yang penuh dan kami akan gunakan tempoh dua minggu di Qatar untuk mempersiapkan pasukan dengan tiga perlawanan persahabatan menentang China dan Qatar dan harap dapat berikan persembahan terbaik.
“Dua perlawanan menentang India memberikan gambaran idea permainan yang hendak diterapkan dan saya berpuas hati dengan progres pasukan ini serta hanya akan menentukan kesebelasan utama selepas berakhir tiga aksi persahabatan di Doha nanti,” katanya.
Pengendali asal Sepanyol itu juga mengakui ketiadaan Azam Azmi Murad yang mengalami kecederaan ketika beraksi bersama skuad senior sedikit mengganggu persiapan namun dia yakin dengan pemain-pemain lain yang mampu menggalas tugas ditinggalkan Azam.
“Apabila seorang pemain yang penting tidak menyertai pasukan sudah tentu akan memberikan impak tetapi kami mempunyai beberapa pemain yang mungkin boleh mengisi tempatnya walaupun agak sukar namun kami yakin akan dapat mengatasinya,” jelasnya.
Selain Azam Azmi, skuad muda negara juga kehilangan khidmat V.Ruventiran, Rahadiazli Rahalim dan Richard Chin yang turut mengalami kecederaan dengan kekuatan 23 pemain bakal disandarkan untuk membawa cabaran Malaysia dalam kejohanan ini.
Tiga pasukan terbaik akan layak ke Sukan Olimpik Paris dengan Malaysia meletakkan sasaran sekurang-kurangnya suku akhir namun perlu berdepan tugas sukar di peringkat kumpulan terlebih dahulu.