KEHADIRAN perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dalam skuad Piala Thomas negara yang akan menggalas cabaran di Chengdu, China, 28 April hingga 5 Mei hadapan, belum dapat dipastikan berikutan pihak Zii Jia belum membuat keputusan mengenainya.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya ada bertemu Team LZJ diketuai pengurus, Lee Zii Yii dan jurulatih, Wong Tat Meng, hari ini, dan mengesahkan pasukan pemain profesional itu memerlukan masa untuk membuat keputusan.
Katanya, dalam mempersiapkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, Zii Jia sudah memiliki perancangan sendiri untuk ke Temasya Paris 26 Julai hingga 11 Ogos hadapan.
“Dalam pertemuan hari ini, kita bincang mengenai perancangan mereka (Team LZJ) buat Zii Jia. Mereka memang ada memikirkan untuk Olimpik dan sasaran mereka.
“Ketika ini Zii Jia berada di ranking ke-10 dunia, jadi mereka sasar dia boleh masuk dalam kelompok lapan terbaik. Ada beberapa perkara yang akan difikirkan bagaimana untuk Piala Thomas.
“Seperti mana pentingnya Piala Thomas, mereka juga harus memikirkan bagaimana untuk mempersiapkan Zii Jia kerana kalau lihat dari kejohanan yang dia akan bermain bermula BAC (Kejohanan Badminton Asia), Masters Malaysia, Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia serta Terbuka Australia.
“Mungkin beraksi di Piala Thomas, akan menjadi ‘overload‘ dan terlalu banyak. Jadi, mereka akan bincang terlebih dahulu mengenai Piala Thomas ini.
“Ada beberapa cadangan daripada mereka tetapi saya tidak boleh beritahu kerana perlu bincang dengan pengurusan dahulu… apa perancangan dan apa yang mereka mahukan,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di ABM.
Beliau berkata, setiap keputusan Team LZJ sentiasa dihormati dan beliau memahami dengan perancangan yang sudah dilakukan mereka untuk pemain berkenaan.
Tarikh tutup pendaftaran pemain ke Piala Thomas berbaki dua minggu lagi iaitu pada 13 April depan.
Begitupun, kehadiran Zii Jia amat diperlukan ketika Ng Tze Yong belum pulih dari kecederaan belakang.
Pada saingan Piala Thomas, skuad negara di undi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.