BEKAS tonggak utama Selangor FC, Brendan Gan, secara rasminya telah melengkapkan perpindahan ke Kuala Lumpur (KL) City FC. Dia akan memperkuat bahagian tengah pasukan tersebut dalam aksi bola sepak yang akan bermula pada Mei hadapan.
Brendan, yang juga memegang peranan penting dalam skuad kebangsaan, telah berkongsi faktor utama yang menjadi pilihannya untuk bergabung dengan kelab ibu kota tersebut, walaupun sedar tentang isu besar yang sedang melanda pasukan tersebut.
Keluarga merupakan kunci segala-galanya bagi Brendan, dan dia telah mencapai kata sepakat selepas berbincang dengan ahli keluarganya untuk terus berada di Kuala Lumpur.
Terkait dengan permasalahan yang sedang dihadapi oleh pasukan tersebut, Brendan juga memaklumkan bahawa pihak pengurusan KL City serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stanley Bernard, telah memberikan gambaran dan jaminan terbaik untuk masa hadapan KL City FC.
“Perkara ini terjadi di beberapa kelab juga. Jadi bagi saya, dengan kehadiran penaung pasukan, Fahmi Fadzil, dia telah berusaha keras untuk memberikan yang terbaik dan dia juga terus mengasak pemain untuk beri 100 peratus komitmen dalam pasukan.
“Dan saya rasa itu sebabnya Stanley memberitahu saya, bahawa saya akan mendapatkan fikiran yang tenang ketika berada dalam pasukan ini. Saya turut menyatakan, ketenangan fikiran itu juga perlu buat keluarga saya.
“Selain itu, semua pemain di sini juga cukup hebat dan mereka sudah mempamerkan prestasi yang terbaik pada aksi-aksi lepas. Jadi dari sudut permainan itu tidak membuatkan saya bimbang.
“Saya hanya perlu memastikan bahawa saya telah meletakkan keluarga saya di tempat terbaik dan saya rasa rumah terbaik saya sekarang adalah di Kuala Lumpur.
“Terima kasih kepada Stanley dan pihak pengurusan yang telah melakukan tugasan kerja dengan baik,” kata Brendan ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Isnin.
Untuk rekod, Brendan tidak lagi bersama pasukan Selangor sejak Februari lalu selepas pihak Selangor dikatakan tidak memberikan ruang untuk mengadakan perbincangan bersama kelab The Red Giants.
Kini, KL City adalah perjalanan baharu bagi tunjang pasukan Harimau Malaya itu demi membuktikan kehebatan dan prestasi cemerlangnya di hadapan peminat bola sepak Malaysia.