PASUKAN Kelantan Darul Naim (KDN) FC telah berjaya merekrut pertahanan baharu dari Republik Czech, iaitu Michal Jerabek yang akan bersama dengan pasukan tersebut untuk musim 2024 ini.

Michal yang berusia 30 tahun itu telah meluahkan rasa teruja sebaik sahaja tiba di negeri Kelantan Darul Naim itu, dan tidak sabar untuk memulakan aksi saingan Liga Malaysia pada Mei hadapan.

Tambah pemain dari kelab Zemplin Michalovce itu, perasaan positif telah timbul dalam dirinya ketika membuat keputusan untuk memilih pasukan Liga Malaysia sebagai perjalanan kariernya yang seterusnya.

Kehadiran Michal telah diumum menerusi laman rasmi KDN FC.

“Saya harap saya dapat menghasilkan hubungan yang baik bersama pemain-pemain di sini dan jadikan satu musim ini sebagai musim terbaik untuk pasukan.

“Semoga pasukan ini akan lebih cemerlang dan dapat memberikan prestasi terbaik sepanjang perlawanan yang akan ditempuh, sekali gus menarik penyokong-penyokong untuk datang menyaksikan perlawanan kami,” ulasnya dalam satu sesi temu bual bersama KDN FC.

Dalam masa yang sama, Presiden Kelantan Darul Naim FC, Rozi Muhamad turut berpendapat bahawa Michal merupakan pemain yang mempunyai kualiti teknikal yang akan menambah kekuatan barisan pertahanan Sang Kijang Emas.

Michal optimis untuk beri prestasi memberangsangkan bersama skuad baharunya.

“Kami memerhati keupayaannya, berdasarkan beberapa faktor termasuk nasihat dari jurulatih, jadi saya gembira dia memilih untuk bersama KDN FC seterusnya memperluas kariernya di negeri Kelantan.

“Kami juga yakin walaupun ini kali pertama dia ke Liga Asia, keinginannya untuk berjaya bersama KDN FC membuatkan kami juga berasa teruja. Kami akan berusaha untuk meningkatkan tahap prestasi serta kualiti Kelantan Darul Naim FC musim ini dan pada musim-musim yang akan datang,” katanya.

Michal yang dibawa masuk ke KDN FC adalah sebagai usaha pihak kelab untuk memperkukuhkan jentera pertahanan bagi menghadapi persaingan hebat Liga Malaysia yang akan bermula pada awal bulan hadapan.