PEMAIN muda skuad Piala MFL, Penang FC 2, Saffy Zikry Ndongo menarik perhatian ramai penyokong apabila dia di bawa masuk pada babak kedua ketika aksi perlawanan ujian menentang Kedah Darul Aman FC minggu lalu.
Bekas pemain Projek FAM-MSN itu mencuri tumpuan kerana dia mempunyai ketinggian 1.92 meter yang kelihatan seperti pemain import dan mampu mengawal bola dengan baik sekaligus mengkucar-kacirkan barisan pertahanan skuad Liga Super itu.
Mempunyai bapa berketurunan Afrika dari Cameroon, Saffy sememangnya mempunyai tubuh badan yang lebih besar berbanding remaja berusia 19 tahun yang lain dan ini memberikan kelebihan buatnya sebagai penyerang.
“Pertama sekali semestinya saya gembira dapat mengambil perhatian penyokong dengan prestasi saya pada malam itu tetapi mereka sudah pasti mengharapkan lebih dari saya pada masa hadapan jadi saya kena kerja lebih keras.
“Saya mula bermain main bola pada umur enam tahun dan saya sedar dengan keturunan Afrika ini, ianya banyak bagi kelebihan untuk saya sebagai penyerang seperti ‘shielding‘ bola dan rembatan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Pemain berusia 19 tahun ini juga mahu menggunakan pengalaman beraksi di bawah kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid untuk mengintai tempat ke skuad kebangsaan bawah 19 tahun namun sedar masih banyak perkara yang dia perlu pelajari.
“Gembira beraksi di bawah ‘coach‘ Manzoor kerana dia banyak tolong dan banyak beri ilmu pada untuk guna kelebihan yang saya ada sebab dia sudah berpengalaman mengendalikan banyak penyerang import sebelum ini.
“Secara peribadi, jika diberikan peluang beraksi, saya mahu bantu Penang 2 dengan menjaringkan sebanyak gol yang mungkin dan merebut peluang untuk dipanggil ke skuad kebangsaan B-19 dalam tempoh terdekat,” jelasnya.
Saffy yang memulakan karier bola sepaknya di Jest Soccer School sebelum menyertai Akademi PKNS FC, dia kini bakal menjadi prospek pasukan muda Harimau Kumbang dengan harapan muncul sebagai penyerang masa depan buat Harimau Malaya.