KEMERIAHAN perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa antara Lion City Sailors dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya menarik perhatian banyak pihak di Singapura khususnya peminat sukan paling popular itu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bishan itu bukan sahaja menjadi buah mulut penyokong bola sepak malah ianya turut mendapat perhatian Lembaga Pengurusan Masjid An-Nahdah untuk menyantuni para penyokong yang beragama Islam.
Masjid yang terletak bersebelahan stadium itu menarik minat para penyokong dengan menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma dan pihak pengurusan menambah bilangan makanan demi memastikan lebih ramai jemaah dapat berbuka puasa terlebih dahulu sebelum ke stadium.
Pengerusi masjid, Yacob Ahmad yang turut menyantuni krew FLASH SUKAN berkongsi keterujaan mereka dengan kehadiran penyokong dari Malaysia dan Johor terutamanya untuk menyaksikan aksi JDT di Bishan.
“Sudah menjadi kelaziman masjid kami menyediakan juadah berbuka puasa buat kariah kami dan sesiapa sahaja muslimin atau muslimat yang mahu mengambil keberkatan berbuka puasa di masjid.
“Tetapi untuk hari ini, kami lebihkan sedikit bilangan makanan untuk menyantuni penyokong bola sepak yang mungkin sukar untuk mencari tempat berbuka puasa dan masjid kami ada menyediakannya.
“Selain warga setempat, juadah ini turut dinikmati pekerja-pekerja asing yang sering menjadikan masjid-masjid di Singapura ini sebagai tempat untuk mereka berbuka puasa dan menunaikan solat terawih selepas itu,” katanya.
Derma dan sumbangan orang ramai dilihat menjadi antara sumber pendapatan Masjid An-Nahdah ini dengan ramai umat Islam mengambil keberkatan sedekah Ramadan untuk beramal dan ianya dapat dinikmati pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira bangsa.
Masjid ini juga sangat mudah dikunjungi dengan hentian bas berada tepat di hadapan pintu masuk utama selain hanya memerlukan lima minit masa berjalan kaki dari stesen MRT Bishan sekali gus menjadi pilihan umat Islam untuk berbuka puasa.
Krew FLASH SUKAN menikmati nasi beriani ayam serta bubur lambuk yang disertakan juga dengan air mineral, kordial dan teh tarik sebagai minuman penghilang dahaga.
Terima kasih dan syabas atas inisiatif yang disediakan oleh Masjid An-Nahdah ini. Anda membuktikan agama dan bola sepak mampu berjalan seiring dengan mendatangkan manfaat kepada banyak pihak.