MENEMPUHI fasa turun naik prestasi di pentas antarabangsa, Muhammad Haikal Nazri tidak mahu dia dan gandingannya, Choong Hon Jian terus ‘tersembam’, sebaliknya meletakkan sasaran untuk menembusi ranking Top 20 tahun ini.

Selepas menjuarai Masters Orleans pertengahan Mac lalu, Muhammad Haikal-Hon Jian tersingkir di suku akhir Terbuka Switzerland seminggu selepas itu, ditewaskan lawan yang sama ketika menjulang trofi di Perancis, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Muhammad Haikal Nazri mengakui banyak input berguna selepas dia dan Choong Hon Jian tewas di Terbuka Switzerland.

“Untuk tahun ini saya nak kejar Top 20… setiap pemain ada masa prestasi merosot, saya perlu bersedia terutamanya dari segi mencari kaedah untuk bangkit dari kejatuhan, lagi cepat lagi bagus,” kata Muhammad Haikal yang kini menghuni ranking ke-28 dunia.

Mengulas mengenai prestasi gandingan itu yang tidak konsisten, tewas kepada lawan yang pernah diatasi, Muhammad Haikal berkata: “Kami bukannya berpuas hati dengan kekalahan itu tetapi, dari kekalahan itu banyak yang kami pelajari, saya tahu apa perlu saya lakukan dan tambah dalam perlawnan, terutamanya dari segi mental.

Prestasi Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian merangkul dua kejuaraan tahun lalu, menyaksikan mereka tersenarai dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Februari lalu.

“Dari segi persiapan pula, kami tidak boleh memandang rendah lawan yang pernah kami tewaskan, kami sepatutnya melakukan persiapan berganda dan sentiasa bersedia kerana sudah tentu lawan mula membaca corak permainan kami.”

Pada final Masters Orleans, Muhammad Haikal-Hon Jian mengatasi Sabar Karyaman-Moh Reza 21-15, 18-21, 21-14.

Namun pada mniggu seterusnya di Terbuka Switerland, mereka tersungkur di suku akhir di tangan lawan yang sama, apabila tewas 16-21, 20-22.

Barisan beregu pelapis elit negara mnula menghasilkan keputusan di pentas antarabangsa.

Sejak digandingkan Julai tahun lalu, Muhammad Haikal-Hon Jian sudah meraih tiga kejuaraan iaitu kejohanan Antarabangsa Syed Modi, India , Masters Guwahati India dan juga Masters Orleans.

Sementara itu, Muhammad Haikal mengakui sentiasa bersedia sekiranya diberi tanggungjawab memperkuat skuad Piala Thomas di Chengdu, China, pada 28 April hingga 5 Mei hadapan.

Ketika ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum mengumumkan senarai pemain yang akan mewakili negara pada kejohanan Piala Thomas & Uber 2024, dan masih menunggu hingga ke saat akhir pendaftaran pemain, 14 April ini.