KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menjelaskan dua sebab semua pemain gembira ketika menyarung jersi merah biru pasukan.
Bidoglio yang kembali menjadi pengendali skuad Harimau Selatan untuk musim 2024-25 sedar tugasnya bukan mudah tetapi yakin dengan kemampuan setiap pemain yang ada dalam pasukan.
Pelatih asal Venezuela itu juga mahu pasukan bimbingannya terus berusaha memperbaiki keadaan dari hari ke hari kerana itu adalah asas terpenting dalam mentaliti juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.
“Di JDT kami sentiasa perlu menjadi lebih baik dari masa ke masa kerana itu adalah kekuatan pasukan ini dan para pemain faham dengan kehendak kelab termasuk pemain-pemain baharu yang dibawa masuk musim ini.
“Semua perkara yang berlaku di JDT adalah mustahil tanpa kerja keras ‘boss’ kami, Pemangku Sultan Johor DYAM Tunku Mahkota Ismail yang memberi apa yang dimahukan semua pemain sekaligus gembira berada di kelab ini.
“Selain ‘boss’, penyokong juga sentiasa menjadi nilai tambah buat pemain. Kami perlukan penyokong di tempat sendiri kerana mereka sangat luar biasa dan semua pemain bekerja keras setiap hari demi penyokong.
“Pemain akan menjadi lebih bersemangat dan gembira untuk berikan keceriaan buat penyokong yang sentiasa berada di belakang kami tidak kira di mana pun JDT beraksi dan ini sangat menakjubkan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Singapura.
‘The TMJ effect‘ dan kekuatan penyokong sememangnya sinonim dengan kejayaan berterusan JDT dalam Liga Malaysia yang turut sama dibawa ketika pasukan beraksi di Liga Juara-Juara AFC hingga membuka mata banyak pemerhati bola sepak Asia.
Keharmonian bilik persalinan dan gandingan pemain serta penyokong inilah yang mendorong JDT menjadi lebih baik dan musim ini cabaran mereka menjadi lebih sukar apabila beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 (ACLE) yang melibatkan 18 kelab terbaik dari seluruh Asia.