FOTO: PENANG FC

SETELAH hampir dua bulan berlatih, inilah perlawanan pertama kompetitif kami dengan pasukan Liga Super.

Itu nada ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli ketika ditemui FLASH SUKAN selepas aksi persahabatan bertemu seteru jiran, Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat malam.

Pada perlawanan yang agak rancak itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan walaupun Penang dilihat berkeupayaan mampu memecah kebuntuan gol di sepanjang babak.

“Saya melihat pemain sudah mula memahami taktikal yang saya inginkan, tetapi masih terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki, terutama dalam menjana serangan.

“Meskipun kami dapat bertahan dengan baik, terdapat beberapa masalah ketika kami cuba untuk menyerang.

“Tetapi bagaimanapun, saya gembira kerana pemain telah berusaha sehingga mencapai tahap kecergasan fizikal hampir 70 peratus,” kata Akmal Rizal.

Kelibat duo Korea Selatan, Moon Gun-Young dan Shin Hak-Young serta kapten, Rafael Vitor antara pemain yang tampil beraksi termasuk kehadiran Luiz Fernando Welter dari Brazil.

 

Akmal Rizal mahu anak buahnya fokus kepada saingan Kejohanan Empat Penjuru di Kuala Terengganu.

Sementara itu, pengendali berusia 42 tahun yang miliki lesen kejurulatihan AFC Pro Diploma mendedahkan lebih banyak lagi aspek akan diasah dengan bakal menyertai satu pertandingan di Pantai Timur pertengahan bulan ini.

“Selepas Hari Raya nanti, kami akan menyertai kejohanan empat penjuru di Terengganu dan pemain akan lebih bersedia. Saya jangkakan kami akan memiliki pasukan lengkap bermula selepas Hari Raya,” katanya.

Kejohanan Empat Penjuru di Kuala Terengganu dijadual berlangsung pada 17 hingga 21 April itu akan membabitkan penyertaan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC dan Terengganu FC II serta jagoan utara, Kedah Darul Aman FC.

Sebelum ini, Akmal Rizal memegang peranan sebagai ketua jurulatih sementara untuk baki tiga perlawanan Liga Super pada musim lalu bagi menggantikan tempat Manzoor Azwira.

Sepanjang tempoh itu, Akmal Rizal berhasil mengemudi The Panthers mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sekali gus menamatkan kempen Liga Super 2023 di tangga ke-10.